KUCHING: Filem ‘Saloi The Movie’ yang dijangka akan menemui penonton di pawagam seluruh Sarawak dan Sabah bulan Mei 2010 ini menjanjikan satu keunikan dalam industri perfileman Malaysia.Filem yang diterbitkan oleh Allan Tinggie Trading Sdn Bhd ini merupakan filem Iban pertama yang diterajui oleh penerbit utama, Hereward Geramong.
Menurut penerbit eksekutifnya, Benny Zach, filem yang berunsur komedi ini menelan belanja lebih daripada RM100,000. Keseluruhan pengambaran diadakan di rumah panjang Sibu selama lebih kurang sebulan.
Filem ini diarahkan oleh pengarah filem kelahiran Sarawak yang berpengalaman Monita Jeff yang juga merupakan penulis skrip untuk drama bersiri Manjalara dan juga pengarah filem pendek ‘I Love Sarawak’.
‘Saloi The Movie’ adalah filem yang berkisarkan tentang cerita dongeng kaum Iban ‘Apai Saloi’ menggariskan barisan pelakon yang muda dan baru dari negeri Sarawak.
Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda yang bernama Saloi (Julius Ejau) yang selalu dibuli oleh masyarakat kampung.
Disebabkan kebodohan bapanya, dia menjadi mangsa dan oleh itu dia bertekad untuk berhijrah ke bandar bagi membuktikan kepada orang kampung yang dia anak kepada Apai Saloi (Blucewalker Breday) bukan bodoh seperti yang disangka.
Sepanjang kehidupannya di bandar, pelbagai perkara pelik mencuit hati berlaku sehingga suatu perubahan yang mengejutkan pada dirinya.
Di samping itu, filem ini turut mendedahkan kepada orang ramai tentang kehidupan, budaya dan masyarakat Dayak di Sarawak.
Filem ini dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, terutama peminat filem komedi kerana kelainannya berbanding drama Iban yang terdapat dalam VCD dan DVD.
Sumber: www.theborneopost.com
No comments:
Post a Comment