Kemasukan subjek ke sekolah menengah beri maklumat terperinci kepada pelajar
KUCHING: Sarawak secara umumnya bersetuju dengan cadangan untuk memasukkan mata pelajaran pendidikan seks dalam korikulum pendidikan di peringkat sekolah menengah bagi memberi maklumat terperinci mengenai aspek seksual kepada pelajar.Menteri Muda Pembangunan Wanita Datin Fatimah Abdullah berkata, pendidikan seks amat diperlukan kerana mempunyai kaitan dengan gaya hidup golongan pelajar.
Beliau menjelaskan, untuk mengajar mata pelajaran pendidikan seks, kita sememangnya memerlukan kepakaran iaitu guru-guru yang berkemahiran dalam bidang berkenaan agar pelajar dapat menerima dengan baik proses penyampaian maklumat yang diberikan.
“Kita memang setuju dengan cadangan untuk memperkenalkan subjek pendidikan seks bagi pelajar peringkat menengah di sekolah- sekolah.
“Ini boleh memberi maklumat dan penerangan secara formal mengenai seksual,” katanya kepada Utusan Borneo ditemui dalam Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Mengulas laporan akhbar nasional Ahad lalu mengenai cadangan itu, Fatimah yang juga Menteri Muda (Hal Ehwal Wanita) beranggapan cadangan itu sudah tepat pada masanya untuk masyarakat diberi pendidikan seks di peringkat remaja.
Beliau berkata, dengan memberi penerangan dari segi fungsi-fungsi organ dan juga jenis-jenis penyakit yang berkaitan dengan seksual maka sudah tentu para pelajar dapat memahami dan mampu mengurangkan masalah social seperti kes buang bayi.
“Apa yang dimaksudkan dalam kurikulum pendidikan keluarga adalah terlalu terhad dan perlu bagi kita memberi penerangan secara kolektif dalam pendidikan seks kepada remaja,” katanya.
Fatimah berkata, sememangnya paling sukar dilakukan oleh guru-guru dan ibu bapa untuk memberi penerangan kepada pelajar atau remaja mengenai pendidikan itu kerana melibatkan keadaan persekitaran yang semakin berubah.
“Kita sedar bahawa golongan remaja amat terdedah dengan pelbagai pengetahuan seks bebas melalui perubahan persekitaran, justeru ada keperluan dan pentingnya pendidikan seks dipelajari oleh pelajar atau remaja untuk masa depan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Cawangan Sarawak juga menggesa badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti-parti politik berganding bahu mencari jalan terbaik bagi meminimumkan gejala seks kalangan masyarakat.
Presidennya, Wan Zain Syed Mohdzar memberitahu sepatutnya parti-parti politik dan NGO sebagai tulang belakang menganjurkan kempen besar-besaran memerangi gejala sosial yang tidak bermoral itu.
“Mungkin cara sedemikian lebih berkesan sebelum dan sesudah mata pelajaran seks diperkenalkan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Sources: www.theborneopost.com
No comments:
Post a Comment