Sunday, December 6, 2009

Mayat mangsa lemas ditemui

Pelajar Siti Nor Jannah dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bermain di sungai

SERIAN: Mayat seorang gadis berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras Khamis lalu sudah ditemui dalam satu operasi mencari petang semalam.Mangsa dikenali sebagai Siti Nor Jannah dijumpai pasukan penyelamat yang merangkumi anggota bomba dan polis serta penduduk kampung tempatan sekitar jam 4.15 petang kira-kira 300 meter dari lokasi kehilangannya di hulu Sungai Karu Kampung Tebakang Melayu kira-kira 12 kilometer dari sini.

Mayatnya telah dibawa ke rumah datuk dan neneknya yang terletak beberapa meter dari tebing sungai telah disambut oleh ahli-ahli keluarga, termasuk ibu bapa dan dua adik perempuannya yang telah tiba di Kuching dari Negeri Sembilan pada tengah malam kelmarin selepas dimaklumkan tentang kehilangannya.

Semasa ditemui semalam, bapa mangsa yang juga seorang pesara tentera, Mohd Sofi Mohamad, 47, berkata Siti yang merupakan anak kedua dan yang tertua di kalangan empat anak perempuannya dan anak lelakinya Mohd Farish, 15 telah menghabiskan waktu cuti sekolah mereka di sini sebelum tragedi berlaku.

“Anak saya datang ke sini sejurus selepas peperiksaan PMR manakala Siti tiba pada 22 November.

“Ini adalah kali pertama mereka pulang ke sini sejak 1998 apabila keluarga saya berpindah ke Negeri Sembilan selepas saya ditugaskan ke sana,” kata Sofi yang turut memberitahu dua anaknya yang paling tua dan dilahirkan di Tebakang masih kecil ketika itu.

“Mereka tidak ingat apaapa mengenai masa lalu dan ingin sekali bertemu dengan datuk dan nenek mereka. “Saya dan isteri berjanji mereka boleh datang ke sini pada musim cuti jika mereka mencapai keputusan yang baik dalam pelajaran,” katanya.

Sofi yang bersara daripada angkatan tentera pada 2003 dan isterinya Dayang Lohemi, 42 tabah di hadapan anak-anak mereka ketika menunggu berita tentang nasib Siti sejak mereka tiba di kampung berkenaan.

Mereka menyifatkan Siti, seorang pelajar di Sekolah Menengah Agama Gemas sebagai seorang anak yang pendiam dan patuh serta lebih suka menyendiri kepada ibu bapa.

“Tidak kira apapun yang berlaku saya akan menerimanya sebagai takdir,” kata Sofi yang memberitahu dia tidak dapat tidur sepanjang malam.

Dia memberitahu ini adalah nasib malang kedua yang menimpa keluarganya selepas satu insiden pada 2004 yang menyebabkan anak perempuan keduanya yang berusia enam tahun ketika itu, lumpuh dari bahagian leher ke bawah selepas dia tergelincir dalam bilik mandi di rumah mereka di Negeri Sembilan.

Sementara itu Farish memberitahu pemberita dia cuba menyelamatkan adiknya selepas menyedari mangsa telah dihanyutkan arus sungai tetapi dia sendiri hampir lemas.

“Kami pergi ke sungai bersama dua sepupu kami yang kecil sekitar jam 3.30 petang untuk bermain di sungai. Dia tidak tahu berenang dan hanyut ke tengah sungai, katanya.

Menyedari mangsa menghadapi masalah untuk berenang ke tebing sungai, Farish yang tidak begitu pandai berenang cuba mendekati mangsa dan berjaya menangkap punggungnya.

Namun demikian dia merasakan diri ditarik ke dalam air dan cuba sedaya upaya untuk mengapungkan diri menyebabkan Siti terlepas daripada gengaman dan dihanyutkan arus sungai.

Sementara itu, jalinan erat antara pelbagai kaum di sini begitu ketara sekali sepanjang hari apabila penduduk kampung di Tebakang dan Serian serta sekitarnya menyertai operasi mencari menggunakan bot masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu Dato Sri Michael Manyin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan meluangkan masa daripada kesibukannya untuk pergi ke tempat kejadian dan bertemu dengan keluarga mangsa sebelum menyertai seketika operasi untuk mancari mangsa.

Belum diketahui sama ada mayat Siti Nor Jannah dikebumikan di sini atau keluarganya merancang untuk membawa pulang jenazahnya ke Negeri Sembilan.

Sources: The Borneo Post Online

No comments:

Post a Comment